Advertisement

Main Ad

Kuala Kangsar.. Bandar DiRaja.. Bestnyer Jalan2..

Ini semalam punya cerita jalan2 cari pasal. Semalam ibu dah kepenatan, so ibu tak update belog ibu ni. Lagipun semalam memang ibu tak ada mood nak berceloteh panjang. Rasa macam mulut ni terkunci je dari nak membebel. Jari ni pun macam malas je nak menari2 bergolek2 atas keyboard Mr. Lappy ni. Jadi!!!! Ibu amik keputusan untuk nak merehatkan diri dari menulis. Tapi pagi ni lepas ayah bertolak pegi kije, ibu dah tak leh nak tido. Aqil masih lena berdengkur lagi atas katil. Ibu tak tau nak buat apa. Nak cite pasal apa erk??? Ermmmmmmm ~Duk memikir sat...~

Semalam kami ke Kuala Kangsar, Perak. Bandar DIRAJA. Disitulah letaknya Istana penuh GAH Sultan kesayangan kami rakyat Perak Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, D.K., D.K.M., D.M.N., D.K. (Kelantan), D.K. (Terengganu), D.K. (Perlis), D.K. (Johor), D.K. (Selangor), D.K. (Kedah), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Pahang), S.S.M., P.M.N., P.S.M., D.K.S.A., S.P.C.M., S.P.T.S., S.P.M.P., S.I.M.P. .. 

Sebenarnya dari kecik2 lagi asalkan pegi Kuala Kangsar je mesti atok Aqil akan bawak kami ronda2 sekitar kawasan istana.. Bukan masuk dalam kawasan pagar istana tau. Duk ronda2 luar kawasan pagar je. Huhuhuhuhuhuhuhu 

Istana Iskandariah, Kuala Kangsar



Sedikit sejarah tentang Istana kebanggaan kami rakyat PERAK.. 

Inilah Istana rasmi tempat bersemayam Raja-raja Pemerintah yang ditabalkan sebagai Sultan Perak semenjak pembinaannya siap disempurnakan dalam tahun 1933. Nama Istana Iskandariah ini adalah mengambil sempena nama Sultan Iskandar Shah (1918-1938) yang bertanggungjawab terhadap pembinaannya.


Kedudukan tapak Istana Iskandariah di Bukit Chandan dan tebing kiri mudik Sungai Perak ialah di atas tapak lama Istana Negara yang dibina pada tahun 1895 oleh Sultan Idris Murshidul'adzam Shah I (1887-1916).


Selepas Sultan Iskandar Shah mangkat pada tahun 1938, Sultan Abdul Aziz (1938-1948) Sultan yang ke-31 yang menggantikan Marhum telah bersemayam pula di Istana Iskandariah. Pada tahun 1948, Sultan Yusuf Izzuddin Shah(1948-1963), Sultan yang ke-32, telah berangkat pindah dari Istana Kota (Istana Hijau) untuk bersemayam di Istana Iskandariah dan pada tahun 1963, Sultan Idris Shah II (1963-1984) menaiki takhta Kerajaan dan bersemayam di Istana ini sehingga kemangkatannya pada tahun 1984.

Senibina Istana ini menyerupai senibina Islam-India 'Saracenic' yang diadun dengan corak senibina Asia Barat khususnya 'Pointed arch' dan hiasan minaret dan kubah yang berbentuk bawang (onion shaped domes).

Istana Iskandariah terletak di atas keluasan tapak berukuran 10,435 meter persegi. Bangunan ibunya berbentuk bujur segi empat (bujur sangkar). Muka hadapannya menghadapi arah matahari naik dan pemandangannya luas ke arah Sungai Perak. Dari pandangan hadapan Istana ini jelas kelihatan kubahnya yang berbentuk bawang. Selain daripada kubah induk ada terdapat empat buah lagi kubah apit yang lebih kecil di setiap penjurunya, Di anjung dan langkan terbuka terdapat juga kubah-kubah kecil.

Istana Iskandariah ialah bangunan tiga tingkat. Di tingkat bawah terdapat dua Dewan Menghadap dan Ruang Tamu, Dewan Negara, Kamar Beristirihat Keluarga di-Raja, Pejabat Juruiring, Kamar Persenangan (Wanita), Dewan Muzik dan Dewan Santapan Tetamu di-Raja. Pada masa dahulu Dewan Muzik itu adalah terdedah kepada pancaran matahari dan dijadikan 'taman' untuk keluarga di-Raja. Di tingkat pertama terdapat Kamar Tamu di-Raja, Kamar Peraduan Kebawah Duli, dua Kamar Peraduan Tetamu di-Raja dan tiga Kamar Peraduan Puteri-puteri Baginda. Manakala di tingkat tiga terdapat dua kamar Peraduan Putera-putera di-Raja dan satu Kamar Peraduan Tetamu di-Raja.



Minaret yang didapati di atas tingkat dua ini terletak di bawah kubah induk. Di sini terdapat ruang yang dianggap sebagai tingkat ketiga. Ruang yang berukuran 9.8 meter x 9.8 meter ini merupakan tempat beristirehat khas untuk keluarga di-Raja sahaja. Di ruang ini terdapat pula tangga berpusing menghala ke bumbung kubah.

Pada tahun 1984 Istana Iskandariah telah diperbesarkan di bahagian belakang dengan tambahan 11,468 meter persegi juga berbentuk tiga tingkat dan disambung dengan Istana asalnya dengan satu titian bertutup di tingkat pertama.

Bangunan tambahan Istana ini mempunyai bentuk senireka yang sama dengan senireka Istana asal untuk memberi pandangan yang ianya seperti siap dibina dalam satu masa.

Istana tambahan yang berukuran 99m panjang dan 38.7m lebar adalah berbentuk bujur empat segi dan mengandungi satu kubah besar di tengah dan empat kubah kecil di penjuru-penjurunya. Di tingkat atas terletak Balairong Seri baru manakala Dewan Santapan baru ditempatkan di tingkat tengah dan tingkat bawah (basement) pula digunakan untuk tempat letak kereta-kereta di-Raja.


Hiasan di kembong pintu dalam Balairong Seri dan Dewan Santapan di-Raja berasaskan sekuntum Bunga Kelumpang. Dari bunga ini keluarlah salur-salur subur berbunga dan berbuah lebat seolah-olah merupai tangan terbuka dan melambai-lambai mesra gemalai mempersilakan tetamu dan rakyat masuk mengadap.

Hiasan tiang direka corak memberi pengertian seorang Pemerintahan yang menjaga kepentingan amanah dan memohon petunjuk dari Tuhan dalam urusan agama bagi dirinya dan rakyat dalam negeri jajahan takluknya. Sementara reka corak Alang Penaga memberi pengertian umum suasana meriah dan gembira di Majlis di-Raja dan seseorang Raja dikelilingi oleh pembesar dan rakyat jelata dalam keadaan aman dan tenteram.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Ok ibu sambung balik cite pasal semalam... Sempat atok berenti solat Zohor dekat Masjid yg indah & agak terkenal di Kuala Kangsar. Memang indah.. Bagi ibu ia seolah2 tersergam sebagai tanda kebanggaan kami rakyat Perak.. Uikssssssss!!! Emo ibu bila cakap bab2 keistimewaan negeri ibu ni..

Masjid Ubudiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar..


Sedikit sejarah tentang Masjid Ubudiah, Bkt. Chandan Kuala Kangsar..

Semasa berehat dalam rawatan di Port Dickson, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar sekiranya kesihatan Baginda pulih. 

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, Baginda telah menitah Colonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk merekabentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Arkitek yang ditugaskan merekabentuk Masjid ini ialah Mr. Hubbeck, yang menggunakan senireka 'Moor' dan Mr Caulfield, Jurutera Negeri Perak, telah ditugaskan melaksanakan bangunan Masjid ini.  Senireka yang diilhamkan oleh Mr. Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai senireka yang bermutu tinggi sehingga ianya mendapat tempat dalam pelan pelancongan.
Pada hari Jumaat, 26hb. September 1913, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Baginda dan Raja (Sir) Chulan. Mengikut cerita, dengan tidak semena-mena seekor gajah Baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaanya Raja (Sir) Chulan ibni Sultan Abdullah, bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya musnahlah batu marmar itu.  Perjuangan itu berlanjutan hingga berjam-jam, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu Marmar itu telah dibawa melalui Afrika Selatan.

Walau bagaimanapun pada tahun 1917, Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918) yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916.

Sebelum Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, dibina dan dijadikan Masjid Negeri, Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Sultan memegang jawatan Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya di-Raja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh sesiapa yang memegang jawatan Kerani Besar Pejabat Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Huh!!!! Hari ni kita banyak belajar sejarah erkkkk.. Tak apalah... Tak rugipun kalo kita tau sejarah sesuatu tempat.. Tanpa sejarah, siapalah kita ni kan... Huhuhuhuhu Kalo kengkawan ibu singgah ke Kuala Kangsar, rajin2 le mencari dua benda yg ibu ceritakan ni.. Dia tak lah sehebat KLCC.. Tapi cukup hebat bagi kami rakyat Negeri Perak.. Ok... Ibu tak nak berceloteh lagi dah.. Sebab rasanya mesti kekawan ibu dah juling duk baca cite ibu kali ni.. Ermmmm Ada ke yg baca sampai abeh???? Sebab setahu ibu kalo masuk bab2 belajar sejarah lama2 ni ramai yg bape nak minat.. Huhuhuhuhuhu

Aktiviti hari ni... Duk umah jer sebab ayah Aqil kije... Huhuhuhuhu Nasib ler badan... It's ok, Mr. Lappy kan ada... ;op

Ni gambor2 Akemelo ibu pulak..
Syomel sungguh dier ni.. 

Ni aktiviti dier dalam kete..
Ini yg ibu tak suka kalo kete berenti lama..
Dier payah nak diam...
Ada je nak digodeknya..

Ni gambor masa singgah kejap dekat hentian Sg. Perak..
Dier ni kalo dah jumpa Playground..
Ni ler jadinya..
Tak nak balik....

~ABEHHH DAAAAAAAAAAAAA~


Post a Comment

1 Comments

  1. Uhhh... Kuala Kangsar... Tempat tumpahnyer darah IbuKU......bestttt

    ReplyDelete

Sila tinggalkan ulasan dengan bijak dan tidak menyinggung mana-mana pihak. Setiap ulasan adalah tanggungjawab pengulas sendiri dan tertakluk kepada Akta 588 SKMM 1988.

Please leave comments wisely and do not offend any party. Each comment is the commenter own responsibility and subjected to the Act 588 MCMC 1988.