Soalan:
Assalamualaikum w.b.t S.S
Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook,
tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan
syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke
atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda,
para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga
hari kiamat.
Mukadimah
Menurut kitab Al-Feqh
al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang
membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu
kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al
walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang
dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh
al-Manhaji (2/92).
Secara umumnya, menghadiri
kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang
diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan
Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk
lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.
Hukum Menghadiri
dan Memenuhi Jemputan
Para fuqaha berbeza
pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis
dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri
perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:
Pertama: Hukum
Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan
Majoriti para ulama menyatakan
bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan
sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا دُعِيَ
أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا
Maksudnya: Apabila
salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim
1053
Hukum wajib tersebut diambil
daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang
membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan
beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab
kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang
dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran
berikut:
- Sekiranya ada syubhah (keraguan)
pada makanan.
- Adanya kemungkaran di
dalam majlis tersebut.
Secara asasnya, sekiranya
seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib
ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya.
Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis
tersebut.
Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya
- Majlis perkahwinan yang
hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.
Ini berdasarkan sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
شَرُّ
الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ
الْفُقَرَاءُ
Maksudnya: Seburuk-buruk
makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya
orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.
Riwayat Ibn
Majah (1913)
- Majlis perkahwinan yang
dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat
yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk
menghadirinya.
Ini berdasarkan sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W
dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang
lain antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ
فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila
dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).
Riwayat Muslim
(2162)
Ini berhujahkan bahawa yang
menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.
Adapun hukum menghadiri majlis
perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab
Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang
bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga
dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah
Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
Ini juga dipersetujui oleh
Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan
menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan
Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).
Kami juga menambah beberapa
keuzuran lain seperti berikut:
- Kesesakan lalu lintas,
hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.
Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili:
‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah:
Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’.
Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Ini mengguna pakai
keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
- Kenduri perkahwinan
tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
- Kesibukan orang-orang
yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin
masyarakat.
- Banyaknya jemputan
kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh
jaraknya.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan
Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya
menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis
perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).
Begitu juga berdalilkan sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
وَمَنْ لَمْ
يُجِبِ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Maksudnya: Dan sesiapa
yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah
menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim
(1432)
Ini bermaksud tidak menghadiri
jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T,
dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang
wajib.
Kedua:
Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab
Para ulama menyatakan bahawa
hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan,
seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya
adalah mustahab (iaitu sunat).
Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun
selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi
ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus.
Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.
Beliau juga turut menukilkan
pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan
(selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim,
Al-Nawawi (9/570).
Hukum Menjemput
Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event
Dalam perkembangan masa kini,
banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis
perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan
isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu
menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh
menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang
berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang
jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum
bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh
yang menyebut:
الوَسَائِلُ
لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah
mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan
seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis
perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah
menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media
sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami
menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk
facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan
individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan
rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa
kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan
hadir).
Meskipun begitu, sekiranya
jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di
majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis
tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di
sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang
melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan
sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara
asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas
kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan
pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium
lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda
tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat
menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami
nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah
permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa
kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat
dari Allah S.W.T.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Yang penting bagi ibu. Jangan niat kita tu nak berkumpul sebab nak bercerita atau bergosip tentang hal orang itu hal orang ini sudahlah. Iskkkkkk! Tak baik kome. Ngeheeeee!
Nak masuk 16 tahun bulan Februari tahun depan.
Melihat kedua mempelai bersanding di atas pelamin ibu tersenyum. Dulu ibu tengok seorang anak kecil berlari mengelilingi kami setiap kali kami berkumpul di hari raya. Sekarang dia dah berada di atas pelamin menjadi milik seseorang. Ibu dah semakin meningkat usia. Musim ibu terima anak menantu saudara pula. ;)
12 Comments
Terima kasih atas perkongsian ibu 👍
ReplyDeletePH tak ingat dah berapa ramai jemputan kenduri kahwin PH hehe... Tapi yg PH ingat masa tu masak secara bergotong-royong. Memang best merewang.
Sama2 PH. Bestnya PH masak secara gotong-royong. Memang best dan meriah lah jawabnya. Semua saudara jiran datang berkumpul. ;)
DeleteAlhamdulillah.. Perkongsian yang bagus ibu.. Satu waktu dahulu, agak susah memenuhi undangan jemputan, tapi sekarang Alhamdulillah.. Mana yang boleh, kita cuba hadirkan diri..
ReplyDeleteIn shaa Allah! Kita cuba mana yang mampu meraikan jemputan. ;)
Deleteterima kasih atas perkongsian.
ReplyDeletems sekolah dulu pun ustaz ada ckp wajib hadir ke mana2 kenduri kalau dijemput
kalau x dpt dtg sebaiknya maklumkan pd tuan rumah
tp yg bgs nya org kite ni mcm mn payah pun dia ttp hadiri majlis kan?
Betul2 sebolehnya mereka akan hadir memeriahkan majlis kan. Ini namanya tetamu hadir bawa rezeki dan juga doa. ;)
Deletewaaaa kad jemputan kawin u tu....kawin thn 2007 yer. ;) MZ pun simpan kad kawin MZ tp tak ingat kat mana (dlm one of the files/folder), MZ kawin thn 2004 ;)
ReplyDeleteIye MZ hihihi Kawin 2007 si bdk Aqil lahir setahun selepas itu.. ;)
Deletegood sharing...sgt jelas.. tq!
ReplyDeletesama..MA pun simpan 1 copy kad jemputan kawin dulu. sekarang ni semuanya e-card je kan
Betul mummy skrg banyak guna ecard.. ;)
DeleteAlhamdulillah so far tak pernah tak datang melainkan sebab yang tak dapat dielakkan. Kecuali kenduri ex je memang saja tak nak pergi walaupun dijemput. kiter sedih kang nangis depan pelamin, haru satu Malaya. haha
ReplyDeleteAlhamdulillah Sal.. ;) Iskkkk ex nye pun x ada empati langsung lah.. ;,(
DeleteSila tinggalkan ulasan dengan bijak dan tidak menyinggung mana-mana pihak. Setiap ulasan adalah tanggungjawab pengulas sendiri dan tertakluk kepada Akta 588 SKMM 1988.
Please leave comments wisely and do not offend any party. Each comment is the commenter own responsibility and subjected to the Act 588 MCMC 1988.