Advertisement

Main Ad

Dialah puncanya

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Salam sejahtera..
CHA 

Dialah puncanya yang membuatkan jari jemari ibu ni rasa gatal nak menaip di keyboard laptop. Disebabkan tahap kemalasan yang terlampau tinggi membuatkan ibu malas nak 'on' laptop. Kalau zaman gila menulis blog dulu laptoplah yang menjadi peneman setia. Segala perasaan yang menggelodak dalam jiwa ini ibu lambakkannya disini. Bila jari-jemari sudah mula menyusun tari siapapun sukar untuk menyuruhnya berhenti hingga dia terseradung jatuh sendiri. Huhu! Mula dah ibu Aqil nak merepek yang bukan hala. Ini kalau anak teruna seorang tu baca mesti kena tegur "Ibu! Tatabahasa ibu berterabur salah.." Huh! Kau rasa bila dah kena tegur dengan anak nak gelak atau nak menangis?! ;)

Agak lama juga setiap update ibu di sini cuma hanya coretan ringkas sebaris ayat sahaja. Sekadar melepas rindu untuk beritahu keadaan kami baik-baik belaka. Alhamdulillah! Mulai semalam setelah menerima satu komen dari dia tu ibu rasa terpanggil dan mula merindui saat kami dahulu. Waktu itu kami berlumba-lumba ingin bercerita. Dia bercerita tentang dirinya sekeluarga disana dan ibu menulis cerita tentang kami disini. Kami membalas sapaan mesra dengan meninggalkan jejak-jejak rindu.

Jika cerita itu tentang kesedihan maka kami suntikkan semangat dan sokongan. Supaya tidak terasa keseorangan dan bersendirian. Sedih tau bila kita bercerita tiada yang sudi membaca apa lagi meninggalkan apa-apa sapaan. Sobssss! [kesat air hidung sekejap] Ok sudah jangan bersedih terlalu lama ibu. Tak seronok lah kehidupan kalau hanya fokus kepada perkara yang tidak mendatangkan semangat. 

Jadi untuk hari ini memandangkan ibu mula bekerja dari rumah [BDR] atau dalam bahasa orang putihnya 'work from home' [WFH] ibu merajinkan diri mengasah kembali 'skill' menulis yang agak lama tumpul. Diharapkan sesiapa yang singgah ataupun tersesat seketika disini sudilah meninggalkan jejak yang baik-baik ya. Ini hanyalah coretan peribadi untuk tatapan, bacaan dan simpanan sendiri sahaja. Andai ada yang terguris rasa dengan setiap olahan ayat ibu mohon dimaafkan. ;)

Jika diikutkan rasa hati ingin sahaja ibu abadikan di blog kami ini coretan kenangan sepanjang musim pandemik Covid19 yang melanda seluruh dunia sekarang. Jika ada sahabat blog ibu yang masih mengikuti perkembangan kami yang rapat dengan kehidupan ibu selain di blog ini akan tahu apa yang telah kami sekeluarga lalui sebagai ahli keluarga ataupun kontak rapat Covid19. Sebenarnya ibu cuba menyimpan sendiri cerita itu kerana ibu bimbang dengan stigma daripada orang ramai. Sedangkan stigma dari mereka yang hampir dan dekat dengan kami juga boleh berubah inikan stigma mereka-mereka yang hanya mengenali ibu dan keluarga di blog sahaja.

Kami adalah bekas keluarga atau kontak rapat Covid19. Pada awal April tahun ini ayahanda ibu telah disahkan positif Covid19. Beliau merupakan pesakit di fasa pertama Covid19. Lebih mudah ibu katakan beliau adalah dari Kluster Tabligh. Disebabkan rumah kami berdekatan dan kami sememangnya setiap hari akan berhubung. Kadangkala hanya menghantar makanan ataupun mereka sekadar datang singgah untuk melihat satu-satunya cucu kesayangan mereka si Aqil Naim. Padahal mereka keluar itu untuk mengisi minyak kereta sahaja tetapi tetap ingin lihat wajah cucu mereka yang seorang ini barulah senang hati balik ke rumah mereka. Perasaan orang tua. ;)

Setelah atok Aqil disahkan positif Covid19. Maka secara tidak langsung kami sekeluarga disarankan untuk membuat saringan. Waktu itu hanya Allah swt sahaja yang tahu bagaimana perasaan kami terutamanya opah Aqil. Beliau lebih risaukan suami, anak-anak, menantu dan semestinya cucu beliau berbandin diri beliau sendiri. Lemah segala otot sendi kakinya disaat ayahanda dibawa oleh ambulance untuk di tahan wad. Keesokkan harinya bonda, Paksu Aqil dan kami bertiga diarahkan untuk ke Klinik kesihatan terdekat membuat saringan.

Diawal waktu fasa pertama dahulu keputusan tidaklah secepat sekarang. Ia makan masa 5 hari juga barulah keputusan keluar. Sekali lagi kami diuji. Bonda ibu pula disahkan positif Covid19. Waktu ini segala otot sendi kaki ibu malah seluruh badan ibu lemah. Ibu hanya mampu duduk terjelepuk di lantai dan menangis sewaktu melihat ambulance mengambil bonda. Allah swt benar-benar menguji kami. Cuma kami bersyukur kerana didalam keluarga hanya atok dan opah sahaja yang disahkan positif manakala ayah, ibu, Aqil dan Paksu [tinggal serumah ayahbonda} telah disahkan negatif dari virus tersebut. Kami dikuarantin di pusat kuarantin yang disediakan olah pihak Kerajaan. Layanan mereka sememangnya terbaik terima kasih kepada semua frontliner. Jasa kalian tidak mampu untuk kami balas.

Andai ada yang bertanya perasaan ibu waktu itu. Ibu tidak pasti adakah ibu gembira dengan keputusan saringan kami sedangkan waktu yang sama hati ibu meronta mengenangkan ayahbonda yang disahkan positif wabak membunuh itu. Allahuakbar! Waktu itulah Allah swt sedang mendidik ibu agar bergantung hanya pada DIA yang satu. Sebaik-baik yang memberi perlindungan dan yang menyembuhkan.

Alhamdulillah! Setelah 7 bulan berlalu. Kami sekeluarga semakin kuat, tabah dan redha dengan ketetapan dari-NYA. Ayahbonda beransur sihat. Ternyata antibodi mereka kuat dan dengan izin Allah swt juga mereka sembuh dari penyakit itu. Syukur Ya Allah! Ia adalah kenangan pengalaman yang mahal harganya buat kami. Allah swt memilih kami diantara yang lain.

Ibu tamatkan dahulu cerita ibu disini. Jika diberi kesempatan dan ruang akan ibu cerita lagi. Cha! Kamu punya pasal kakak berjangkit nak menulis panjang lebar macam ni. Silalah baca tanpa jemu. Hahaha! Tapi penceritaan kakak tetap tidak setanding kamu adik. Penulisan kamu sangat bagus dan seronok untuk dibaca. Seolah-olah kakak sendiri berasa didalam cerita kamu itu. Teruskan menulis adik kerana kakak akan setia membacanya walaupun makan masa yang lama untuk kakak singgah ke sana. ;)



Hari pertama ayahanda warded sebagai pesakit Covid19..
Ceria sahaja wajahnya..
Kerana tidak mahu kami semua risau..
Diukirnya senyuman yang paling menawan.. ;)



Waktu ini ambulance datang untuk membawa bonda ibu..
Waktu ini kami telahpun diarahkan untuk kuarantin di pusat kuarantin..
Sebak rasa hati melihat ambulance membawa bonda..
Ibu hanya fikir adakah ini akhirnya pertemuan kami didunia.. ;,(



Video call melepaskan rindu..
Sewaktu kuarantin di pusat kuarantin kami yang negatif diasingkan bilik..
Hanya ayah dan Aqil sahaja disatukan dalam bilik yang sama..
Lega hati ibu kerana ibu risau kalau Aqil terpaksa duduk sendirian..
Sedangkan ibu hampir gila duduk berseorangan..
Lihat dinding yang kosong pun seolah-olah ia berbicara..
Tekanan perasaan adalah benar.. ;)



Sepanjang dikuarantin kami akan buat video call..
Terutamanya waktu makan..
3 kali makanan dihantar..
Setiap kali itulah kami tetap akan makan bersama berbual dan bercerita..
Ayah dan Aqil tidak pernah izinkan ibu makan bersendirian tanpa teman..
Sayang kalian berdua hingga hujung nyawa.. ;)



Alhamdulillah!
Setelah 14 hari selesai dikurantin..
Swap kedua kami masih berkeputusan negatif Covid19..
Kami dibenarkan pulang ke rumah..
Waktu ini atok Aqil yang pertama pulang ke rumah..
Opah Aqil pulang setelah 2 hari kami dilepaskan..
Waktu ini hari pertama di bulan Ramadhan..
Kenangan selamanya..

Merasalah kami bersahur hari pertama di pusat kuarantin. Nak telan makanan pun rasa tersekat di anak tekak. Terpaksa ibu tolak dengan air minum. Huhu!

Post a Comment

4 Comments

  1. alamak, hihiii... sayu baca citer ibu ni. kita kena kuarantin juga hari tu, abi kontak rapat, so dia tak bagi pergi mana-mana. membosanla kami dirumah 10 hari. brg dapur pun mintak bantuan org belikan. nak buat entry jugaklah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah! Bersyukur punya sahabat sekeliling yang membantu.. Ha! Nanti umi tulis entry ibu datang baca ya.. ;)

      Delete
  2. Encik Suami saya pun kena kuarantin jugak di awal PKP tp bknlah kluster tabligh.. kluster PPD.. itupun dia kontak ke-2 bkn kontak rapat pertama.. time tu kan sgt strict dan En Suami pun keja di hosp trs bos arahkan dia kuarantin bila dia declare yg adik ipar dia positif covid.. merasa jugaklah berpuasa, bersahur dan berbuka tanpa Encik Suami.. huhuhu

    Sy kenal cha pn dh lama dan dia mmg suka menulis sgt panjang.. tp tetap seronok baca kan? Kagum usaha dia bercerita panjang lebar sampai kita boleh imagine apa yg dia tulis kat blog tu 😂😂

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iye ke Kak Mim. Terima kasih Kak sudi baca sampai ke entry ni. Ibu serik pengalaman Covid19 batch pertama dulu. Betul2 rasa kehilangan kawan2 rapat. Semuanya melarikan diri. ;,( Cha memang kwn sahabat adik yg baik. Baca penulisan dia macam baca novel dibuatnya. ;)

      Delete

Sila tinggalkan ulasan dengan bijak dan tidak menyinggung mana-mana pihak. Setiap ulasan adalah tanggungjawab pengulas sendiri dan tertakluk kepada Akta 588 SKMM 1988.

Please leave comments wisely and do not offend any party. Each comment is the commenter own responsibility and subjected to the Act 588 MCMC 1988.